Keutamaan Menyempurnakan Rukun-Rukun Solat

      No Comments on Keutamaan Menyempurnakan Rukun-Rukun Solat

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menunaikan solat pada waktunya dan melengkapkan wudhu’nya serta menyempurnakan ruku’nya, sujudnya dan khusyu’nya, nescaya solat itu akan terangkat (ke atas langit) dalam keadaan putih dan cemerlang.

Ujar solat itu: Semoga Allah memelihara engkau, sebagaimana engkau memelihara aku.

Barangsiapa menunaikan solat di luar waktunya dan tiada pula melengkapkan wudhu’nya serta tiada menyempurnakan ruku’nya, sujudnya dan khusyu’nya, nescaya solat itu akan terangkat dalam keadaan hitam legam.

Ujar solat itu: Semoga Allah mensia-siakan engkau, sebagaimana engkau mensia-siakan aku.

Apabila ia telah sampai ke tempat yang ditetapkan oleh Allah, maka ia pun dilipat-lipat, sebagaimana dilipatkan baju-baju yang koyak, lalu dilemparkan solat itu ke muka orang yang melakukannya.”

Sumber: Bimbingan Mukminin, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura (Terjemaah Said Ahmad Semait)

Keutamaan Solat Fardhu

      No Comments on Keutamaan Solat Fardhu

Allah berfirman:

“Sesungguhnya sembahyang itu merupakan kewajiban yang ditentukan atas kaum Mu’minin.” (an-Nisa : 103)

Rasulullah s.a.w. pula bersabda:

“Sembahyang-sembahyang yang lima dan demikian pula satu Jumaat sampai satu Jumaat yang lain menjadi tebusan dosa antara masing-masing sembahyangnya, selama dijauhi dosa-dosa besar.”

Baginda juga pernah ditanya: Apakah amalan yang paling utama? Baginda menjawab: “Sembahyang pada waktunya.”

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq pula berkata: Apabila sampai waktu sembahyang, maka segeralah mendapatkan api yang kamu nyalakan itu seraya memadamkannya.

 

Sumber: Bimbingan Mukminin, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura (Terjemaah Said Ahmad Semait)

Keutamaan Azan

      No Comments on Keutamaan Azan

Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Tiada seorang jin atau manusia atau benda apapun yang mendengar suara panggilan azan itu, melainkan dia akan menyaksikannya di Hari Kiamat kelak.”

Sabdanya lagi:

“Apabila kamu mendengar suara azan, maka ucapkanlah sepertimana yang diucapkan oleh muazzin itu sendiri.”

Menyahut azan sama seperti kata-kata muazzin itu adalah dituntut dan sunat, kecuali pada haiyalataini (dua haiya ala) maka hendaklah dijawab dengan kata:

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

“Tiada daya dan kekuatan, melainkan dengan pertolongan Allah”

Dan pada kata-kata “Qadqamatis-Solah” dijawab pula:

أَقَامَهَا اللَّهُ وَأَدَامَهَا

“Semoga Allah mendirikannya (sembahyang) dan mengekalkannya.”

Dan pada kata-kata: “Ash-Solatu Khairun Minan-naum” pula dijawab:

صَدَقْتَ وَبَرَرْتَ
“Engkau telah berkata benar dan berbakti”

Sesudah azan, hendaklah ia membaca:

اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدا نلْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَابْعَثْهُ مَقَاماً مَحْمُودا نلَّذِي وَعَدْتَهُ، [إَنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

“Ya Allah, Tuhannya doa yang sempurna ini, dan juga shalat yang akan didirikan ini. Kurniakanlah Nabi Muhammad kedudukan yang tinggi serta kehormatan. Dan bangkitkanlah dia pada tempat yang  terpuji (Maqam Mahmud) yang Engkau janjikan baginya.”

Sumber: Bimbingan Mukminin, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura (Terjemaah Said Ahmad Semait)