Keutamaan Khusyuk Ketika Solat

      Comments Off on Keutamaan Khusyuk Ketika Solat

Allah berfirman:

“Dan dirikanlah solat itu kerana mengingatiku.” (Taahaa: 14)

Mematuhi perintah itu adalah wajib dan kelalaian dalam solat bertentangan dengan maksud mengingati Allah. Bagaimana seseorang itu dikatakan mendirikan solat untuk mengingati Tuhan, sedangkan ia lalai dan lena dalam solatnya.

Allah berfirman lagi:

“Dan janganlah kamu termasuk golongan orang-orang yang lalai.” (al-A’raaf: 205)

“Sebenarnya telah menanglah orang-orang Mu’minin yang berkhusyu’ dalam solat mereka.” (al-Mu’minun: 1-2)

Allah telah mengkategorikan khusyu’ dalam solat itu sebagai tingkat yang paling tinggi sekali dari tingkat-tingkat kejayaan. Ini adalah sebagai suatu peringatan kepada orang-orang yang lena dan lalai dalam solatnya, bahawa mereka itu adalah berada paling bawah sekali dari tingkat-tingkat kemenangan dari kejayaan yang dimaksudkan dalam ertikata “al-Falah”.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya solat itu adalah ketenangan hati dan kerendahan diri dan permohonan jiwa, dan anda mengangkat kedua belah tanganmu berkata: Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Barangsiapa tiada melakukan serupa itu, maka solatnya tidak sempurna (kurang syarat-syaratnya).”

Sabda lain:

“Barangsiapa yang bersolat, padahal solatnya itu tiada dapat mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tiada akan bertambah sesuatu dari Allah melainkan jauh daripadaNya.”

Diceritakan suatu peristiwa dari Muslim bin Yasar, bahawasanya pada suatu hari dia bersolat di Masjid Basrah, maka dengan tiba-tiba dinding masjid itu runtuh, sekalian orang-orang di pasar (yang berdekatan dengan masjid itu) merasa terkejut kerana kerasnya bunyi keruntuhan itu, akan tetapi Muslim yang sedang mengerjakan solat itu tetap pada tempatnya, menoleh pun tidak. Sesudah solat, apabila dilihatnya orang ramai mengucapkan selamat kepadanya, dia merasa hairan. Katanya: Saya tidak tahu atau rasa dinding itu runtuh.

Berkata Ibnu Abbas: Dua rakaat dalam tafakkur (mengingatkan kebesaran dan kekuasaan Allah Ta’ala) lebih baik daripada beribadat sepanjang malam sedang hatinya lalai.

Sumber: Bimbingan Mukminin, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura (Terjemaah Said Ahmad Semait)