Keutamaan Masjid dan Tempat Solat

      Comments Off on Keutamaan Masjid dan Tempat Solat

Allah berfirman:

“Hanyasanya yang meramaikan masjid-masjid Allah, ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” (at-Taubah: 18)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa mendirikan masjid kerana Allah, sekalipun seperti pondok ayam, nescaya Allah akan mendirikan baginya rumah dalam syurga.”

Sabdanya lagi:

“Apabila seseorang di antara kamu memasuki masjid, maka hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk.”

Sabdanya lagi:

“Tiada akan sempurnalah solat orang yang bertetangga dengan masjid, melainkan di dalam masjid.”

Sabdanya lagi:

“Akan datang kepada manusia suatu masa, mereka akan duduk-duduk dalam masjid, mereka membicarakan tentang hal-ehwal keduniaan, ketahuilah bahawa Allah tiada berhajat kepada orang-orang serupa itu, maka hendaklah kamu menjauhkan diri daripadanya.”

Sumber: Bimbingan Mukminin, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura (Terjemaah Said Ahmad Semait)

Keutamaan Khusyuk Ketika Solat

      Comments Off on Keutamaan Khusyuk Ketika Solat

Allah berfirman:

“Dan dirikanlah solat itu kerana mengingatiku.” (Taahaa: 14)

Mematuhi perintah itu adalah wajib dan kelalaian dalam solat bertentangan dengan maksud mengingati Allah. Bagaimana seseorang itu dikatakan mendirikan solat untuk mengingati Tuhan, sedangkan ia lalai dan lena dalam solatnya.

Allah berfirman lagi:

“Dan janganlah kamu termasuk golongan orang-orang yang lalai.” (al-A’raaf: 205)

“Sebenarnya telah menanglah orang-orang Mu’minin yang berkhusyu’ dalam solat mereka.” (al-Mu’minun: 1-2)

Allah telah mengkategorikan khusyu’ dalam solat itu sebagai tingkat yang paling tinggi sekali dari tingkat-tingkat kejayaan. Ini adalah sebagai suatu peringatan kepada orang-orang yang lena dan lalai dalam solatnya, bahawa mereka itu adalah berada paling bawah sekali dari tingkat-tingkat kemenangan dari kejayaan yang dimaksudkan dalam ertikata “al-Falah”.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya solat itu adalah ketenangan hati dan kerendahan diri dan permohonan jiwa, dan anda mengangkat kedua belah tanganmu berkata: Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Barangsiapa tiada melakukan serupa itu, maka solatnya tidak sempurna (kurang syarat-syaratnya).”

Sabda lain:

“Barangsiapa yang bersolat, padahal solatnya itu tiada dapat mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tiada akan bertambah sesuatu dari Allah melainkan jauh daripadaNya.”

Diceritakan suatu peristiwa dari Muslim bin Yasar, bahawasanya pada suatu hari dia bersolat di Masjid Basrah, maka dengan tiba-tiba dinding masjid itu runtuh, sekalian orang-orang di pasar (yang berdekatan dengan masjid itu) merasa terkejut kerana kerasnya bunyi keruntuhan itu, akan tetapi Muslim yang sedang mengerjakan solat itu tetap pada tempatnya, menoleh pun tidak. Sesudah solat, apabila dilihatnya orang ramai mengucapkan selamat kepadanya, dia merasa hairan. Katanya: Saya tidak tahu atau rasa dinding itu runtuh.

Berkata Ibnu Abbas: Dua rakaat dalam tafakkur (mengingatkan kebesaran dan kekuasaan Allah Ta’ala) lebih baik daripada beribadat sepanjang malam sedang hatinya lalai.

Sumber: Bimbingan Mukminin, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura (Terjemaah Said Ahmad Semait)

Keutamaan Sujud

      Comments Off on Keutamaan Sujud

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tiada seorang Muslim pun yang bersujud kepada Allah sekali sujud saja, melainkan Allah mengangkatkan baginya satu darjat (pahala) dan menghapuskan satu keburukan (dosa).”

Dan sabdanya lagi:

“Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud, maka perbanyakanlah berdoa ketika itu.”

Allah berfirman:

“Tanda-tanda mereka ada di wajah mereka tersebab dari bekas (banyaknya) bersujud.” (al-Fath: 29)

Yakni cahaya atau nur kekhusyu’an mereka, kerana cahaya inilah yang dikatakan memancar dari batiniah seseorang, lalu terpapar dilahiriahnya.

Sumber: Bimbingan Mukminin, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura (Terjemaah Said Ahmad Semait)

Keutamaan Solat Berjemaah

      Comments Off on Keutamaan Solat Berjemaah

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang bersendiri dengan 27 darjat.”

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah pernah mengesan beberapa orang tidak ikut serta dalam jemaah, lalu baginda berkata: Saya hampir-hampir akan memerintahkan orang lain untuk mengimami orang ramai dalam sembahyang, kemudian saya pergi mendapatkan orang-orang yang melewat-lewatkannya (sembahyang berjamaah), lalu saya membakar rumah-rumah mereka.

Dalam sebuah Hadis Marfu’ yang diriwayatkan oleh Khalifah Usman r.a. dari Rasulullah bunyinya:

“Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang Isya’ berjemaah, maka ia seolah-olah mendirikan ibadat sepanjang malam itu.”

Berkata Muhammad bin Wasi:

Saya tiada menginginkan dunia melainkan pada tiga perkara saja:

  1. Seorang saudara yang apabila saya membuat kesalahan, dia akan meluruskan (membetulkan) saya.
  2. Makan dari rezeki yang halal.
  3. Sembahyang dalam berjemaah yang akan diangkat daripadaku semua kelalaianku dan dituliskan bagiku pahala.

Al-Hasan pula berkata:

“Jangan kamu bersembahyang di belakang seorang yang tidak sering mendatangi para ulama.”

Ibnu Abbas r.a. berkata:

“Barangsiapa mendengar suara muazzin, sedangkan dia tiada menjawabnya (menurut pergi sembahyang berjemaah), nyatalah ia tiada mencintai kebaikan, dan tentu sekali kebaikan juga tidak akan mencintainya.”

Sumber: Bimbingan Mukminin, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura (Terjemaah Said Ahmad Semait)

Keutamaan Menyempurnakan Rukun-Rukun Solat

      Comments Off on Keutamaan Menyempurnakan Rukun-Rukun Solat

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menunaikan solat pada waktunya dan melengkapkan wudhu’nya serta menyempurnakan ruku’nya, sujudnya dan khusyu’nya, nescaya solat itu akan terangkat (ke atas langit) dalam keadaan putih dan cemerlang.

Ujar solat itu: Semoga Allah memelihara engkau, sebagaimana engkau memelihara aku.

Barangsiapa menunaikan solat di luar waktunya dan tiada pula melengkapkan wudhu’nya serta tiada menyempurnakan ruku’nya, sujudnya dan khusyu’nya, nescaya solat itu akan terangkat dalam keadaan hitam legam.

Ujar solat itu: Semoga Allah mensia-siakan engkau, sebagaimana engkau mensia-siakan aku.

Apabila ia telah sampai ke tempat yang ditetapkan oleh Allah, maka ia pun dilipat-lipat, sebagaimana dilipatkan baju-baju yang koyak, lalu dilemparkan solat itu ke muka orang yang melakukannya.”

Sumber: Bimbingan Mukminin, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura (Terjemaah Said Ahmad Semait)